Followers

Saturday, November 23, 2013

Doktor, Mak Cik Ada Anak Perempuan...


Tersebutlah kisah suatu pagi ditempat parking motor belakang Hospital ABC (bukan nama sebenar)…
Seperti biasa, pada hari tiada titis-titis air jernih dari langit a.k.a hujan aku akan menggunakan motorsikal untuk ke hospital. Pagi tu, agak luar biasa kerana aku sampai awal kat hospital (hehe). Walaupun tempat parking motor banyak lagi yang kosong, aku tetap parking motor aku kat tempat ‘feveret’ aku iaitu depan bilik suis elektrik utama (tak tau ape nama yg tepat).

Sebaik sahaja turunkan stand motor, matikan enjin, kunci motor dan turun dari ‘kuda’ aku tu, perkara seterusnya adalah mengeluarkan ‘white coat’ yang dah tak berapa nak white dari beg, dan terus pakai. Then masukkan beberapa item2 ‘wajib’ dalam poket white coat sehingga white coat kelihatan seperti karung penyamun/poket doremon. Masa duk tengah gulung2 wayar stetoskop dan nak masukkan ke dalam poket bawah sebelah kanan, tiba2 terdengar satu suara menyapa aku dari sisi sebelah kanan.

”Assalamualaikum doktor…”
Seraya itu, aktiviti memasukkan stetoskop dalam poket terus terbantut, aku angkat kepala dan menoleh ke arah suara seorang wanita yang memberi salam itu sambil menjawab salam bersama sebuah senyuman ‘good morning’ sebagai bonus.

Waalaikumussalam mak cik… ada apa2 boleh saya bantu? (tu dia.. ala2 kaunter pertanyaan gitu)
Mak cik tu hanya tersenyum tawar apabila memandang wajah aku, kemudian mengalihkan pandangan ke dada kiri aku sambil bersuara: Doktor… Amirul ya? Aku cepat2 menyangkal ‘dakwaan’ mak cik tu yang memanggil aku ‘Doktor Amirul’: Eh mak cik, jangan panggil saya doktor, segan saya, saya belajar lagi, panggil Amirul je.

Mak cik: Tak pe la… nanti kan jadi doktor jugak… mudah2han jadi doa. Mak cik ada anak perempuan….
Belum sempat makcik tu menghabiskan ayat dia, imaginasi lelaki normal macam aku ni dah ke lain. Mesti ade apa2 ni tiba2 je bagitau dia ade anak perempuan. Aku tatap raut wajah makcik yg jernih bersih tu. Kedut2 hasil proses penuaan pada wajah keibuannya itu tidak mampu untuk menyangkal pendapat dalam kepala aku ni yang makcik ni seorang yg cantik masa dia muda2 dulu. Hmm.. mesti anak dia ni cantik orangnya. Ehem.. ehem.. (aku berdehem perasan sendiri dalam hati).

Akan tetapi, belum sempat neuron2 dan isyarat2 elektrik dalam otak aku ni membina imaginasi yang lebih jauh, angan2 bangang aku tu termusnah apabila aku melihat mata mak cik kelihatan berkaca-kaca. Tatkala dia menyebut dia ada anak perempuan, ekspresi sedih terbentuk pada wajahnya, air jernih mula bertakung pada kelopak mata dan mula mengalir perlahan-lahan, melalui kedut2 tua dipipinya.
Aku terkedu. Ya Allah, hari ni tak ada titis2 air jernih dari langit, tp Engkau hantar di depan aku  titisan air jernih dari mata seorang ibu tua yang aku tak kenal pun dia. Aku lebih rela pakaian aku basah kuyup ditimpa titisan2 air dari langit daripada hati aku basah ‘ditimpa’ titisan air mata seorang ibu. Kenapa pulak ni? Aku lemah betul kalau orang menangis-nangis ni, lebih2 lagi orang tua yang selayaknya aku anggap macam ibu aku sendiri.

Aku beranikan diri membuka bicara:
”Mak cik… kenapa ni mak cik? Mak cik okey ke?
Mak cik bersuara, menjawab dengan suara serak2 basah menahan kesedihan:
”Mak cik mintak maaf doktor, dari jauh tadi mak cik perhatikan doktor, bila doktor pakai baju putih tu, makcik terus teringat kat anak perempuan mak cik. Anak mak cik tu pun doktor…” Air mata makcik makin laju disaat dia sebut anak perempuan dia, suara pun jadi tersekat-sekat.
”Alhamdulillah.. baguslah kalau anak makcik doktor, boleh la dia jaga makcik baik2. Ermm, tapi awat (kenapa) makcik sedih sangat ni? Aku kuatkan hati bertanya, takut jugak silap2 haribulan aku pulak menangis lagi kuat dari mak cik tu. (huhu).

Esakan mak cik semakin kuat. Tapi dia meneruskan kata2nya:
”Ya, dia doktor, itulah harapan mak cik. Mak cik ingat ada anak yg jadi doktor, dapatlah dia jaga makcik, tengok-tengokkan mak cik masa sakit pening, tp… (sambil mengesat air mata) tapi setahun lepas dia habis belajar, dia kahwin dengan orang kaya, langsung dah tak ingat makcik. Tahun ni dah masuk empat tahun dia tak balik jenguk mak cik. Usahkan balik raya, telefon pun tidak. Mak cik pun tak tahu, apalah salah mak cik sampai dia tak ambil peduli langsung pasal makcik. Mak cik sedar, mak cik tahu, yang dia pegi belajar jauh2, bukan mak cik yang tanggung, dia dapat biasiswa, mak cik pun memang tak mampu, mak cik memang orang susah. Tapi makcik betul2 tak sangka, sampai macam ni sekali dia buat kat mak cik. Dari kecik, sejak tapak kaki dia sebesar dua jari, mak cik jaga dia, susukan dia, bersengkang mata jaga dia malam2 masa dia sakit, bila dah besar, dah senang, dia lupakan makcik. Allah saja yang tahu perasaan mak cik. Tiap2 kali mak cik datang hospital, tengok doktor2 perempuan kat sini, makcik mesti tak boleh nak tahan air mata makcik. Tapi tak apa lah, macam mana sekalipun dia buat kat mak cik, mak cik tetap akan doakan dia bahagia dunia akhirat. Mak cik tak nak anak mak cik dapat susah kalau2 pada pandangan Tuhan dia dikira derhaka pada mak cik. Biarlah makcik susah, mak cik dah biasa macam ni. Cuma mak cik nak pesan kat Doktor Amirul, jangan sesekali lupa pada orang tua bila dah berjaya nanti’.

Panjang lebar makcik bercerita, sapu tangan ditangan kanannya kelihatan basah dek kerana mengesat air mata. Aku terkedu, hati ni betul2 tersentak. Kalau anak dia ada depan aku sekarang ni, mau aje aku inject satu dos ‘racun keinsafan’ (kalaulah ada) biar dia sedar diri sikit. Otak aku tak leh terima, ada jugak manusia intelek yg dididik untuk punya rasa belas kasihan pada manusia tanpa mengira kawan atau musuh boleh buat macam tu kat ibu sendiri. Akhirnya kilang air mata aku ni pun beroperasi mengeluarkan isinya kerana marah dan geram, mujurlah dapat dikawal. Seriusly, aku tak tau nak cakap apa, otak aku ni ligat duk pikir, what is the best words that I should say to this poor mak cik? Akhirnya…

”Sabar la mak cik, saya pun sedih dengan anak mak cik tu, geram pun ada. Tapi apa boleh buat, kita doa sajalah, mudah2han satu hari nanti Allah bukak hati dia, hati suami dia untuk sedar yang diorang tu dah buat salah ngan mak cik, sabar ye makcik..” Kalau aku ni perempuan, mau saja aku peluk mak cik tu, dan genggam tangan dia supaya dia lebih tenang, tapi apa kan daya, cuma kata2 cliche tu saja yang mampu aku katakan.

”Mak cik minta maaflah doktor, entahla kenapa mak cik tiba2 rasa nak cerita pasal ni pada doktor, mak cik minta maaf sangat2 sebab pagi2 ni dah ganggu doktor” Sungguh2 mak cik tu minta maaf.
”Eh tak pe makcik, tak pe. Ada hikmahnya Allah temukan saya dengan mak cik. Saya bersyukur sangat2 dapat jumpa makcik hari ni. Okaylah mak cik, mak cik jangan sedih2 ye, nanti kalau mak cik nak bercerita lagi, kalau terjumpa saya tegur2 lah ye, nanti kita sembang lagi.. Saya kena pergi dah ni, kan saya pulak menangis kena marah kat doktor2 garang kat atas tu. hehe” Mak cik tu tersenyum dengar aku buat lawak bodoh dihujung ayat tu. Tapi tak pe lah, at least I managed to put back a smile on her face, and wipe away the sad expression.

Aku terus melangkah menuju ke lif. Dan langkah aku pagi itu adalah langkah2 yang penuh dengan kesyukuran. Bersyukur kerana hari ini Allah telah memberi peringatanNya pada aku tentang siapa aku. Dan aku tulis kisah ini disini supaya jadi peringatan untuk semua yang membaca.

Ya, kita mungkin dapat biasiswa atau apa2 saja sumber kewangan yang bukan dari ibu bapa kita untuk menanggung pengajian. Tapi ini pastinya bukan alasan untuk kita mengabaikan insan2 yang telah membesarkan kita. Tidak ada nilai upah yang setanding untuk seorang ibu yang kehulu kehilir selama 9 bulan membawa kita didalam kandungan, tidak ternilai setiap titik peluh seorang ayah yang bertungkus lumus mencari rezeki untuk mengisi perut kita, bahkan jika kita ada harta seisi dunia ini sekalipun, kita tidak akan dapat menukarkannya untuk mendapatkan keberkatan seuntai doa dari seorang ibu. Ingatlah, setiap kebaikan yang Allah limpahkan dalam kehidupan kita, mesti ada kaitannya dengan keberkatan doa dari ibu dan ayah kita.

*Terima kasih Allah, terima kasih mak cik tanpa nama, semoga anak perempuan mak cik tu kembali kepangkuan mak cik suatu hari nanti*~aku tak pernah jumpa mak cik tu lagi sejak hari tu~

No comments:

Post a Comment